Selasa, 6 Jun 2017

FIQH HADIS; HUKUM MENDERMA DARAH KETIKA BERPUASA?

Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Ibnu ‘Abbas RA yang menceritakan;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ
“Nabi SAW berbekam ketika beliau sedang berpuasa” (Soheh al-Bukhari; 1938).

Hadis ini menjadi dalil bagi keharusan berbekam ketika sedang berpuasa. Proses bekam melibatkan pengeluaran darah dari badan. Dengan merujuk hukum berbekam itu, para ulamak hari ini mengharuskan orang berpuasa menderma darah atau menjalankan ujian darah kerana ia juga membabitkan proses yang sama (iaitu pengeluaran darah dari tubuh).

Namun keharusan tersebut bersyarat, iaitu tidak dikhuatiri tubuh menjadi lemah hingga terpaksa berbuka puasa. Jika ada kekhuatiran tersebut, dilarang berbekam atau menderma darah atau menjalankan ujian darah, kecuali jika darurat (yakni keadaan terpaksa). Dalam Soheh al-Bukhari juga, terdapat hadis dari Tsabit al-Bunani yang menceritakan; pernah ditanya kepada Anas bin Malik RA (sahabat Nabi); ‘Adakah kamu semua (para sahabat) memakruhkan berbekam kepada orang berpuasa?’. Dia menjawab; “Tidak, kecuali jika boleh melemahkannya” (Soheh al-Bukhari; 1940).


Menurut penjelasan Imam an-Nawawi; “Keharusan berbekam oleh orang berpuasa merupakan pandangan mazhab Syafiie, Imam Malik dan Abu Hanifah, serta jumhur para sahabat dan kebanyakan fuqahak” (lihat; al-Majmuk, 6/349).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...