Laman soal-jawab agama, dikendalikan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. Sila layari; AKADEMI AL-QURAN IMAM AL-SYAFIIE untuk mendapatkan EBOOK Ustaz Adnan (lihat link di sebelah kanan blog)
Rabu, 9 Oktober 2013
Khamis, 3 Oktober 2013
AQIQAH UNTUK ANAK ANGKAT
Soalan; assalamu alaikum, ustaz. Saya ada mengambil anak
angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? terima kasih
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.
‘Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung
nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya. Bagi anak luar nikah, aqiqahnya dilakukan
oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya). Jika hendak dilakukan
oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka,
aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulamak termasuk
mazhab Syafiie.
Ada juga ulamak berpandangan; asalkan berlaku sembelihan untuk
si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira
siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Anak kecil dipertaruhkan
dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi
nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). Dalam hadis
ini Nabi SAW hanya menyebutkan ‘disembelih (ternakan) untuknya’ tanpa Nabi
menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan
niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing
(Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).
Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak
itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan
aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar
dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya
dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal
kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan
membelanya.
Rujukan;
1. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
2. Fathul-Bari, 9/595.
3. Subulus-Salam;
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no; 111169, 15671.
Rabu, 2 Oktober 2013
BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH
Soalan; Boleh atau tidak ibu bapa membuat ibadah qurban
untuk anak yang belum baligh. Ada terbaca syarat untuk korban hendaklah
mencapai akil baligh dan berakal.
Jawapan;
Menurut mazhab Syafiie; wali (penjaga)[1]
dibolehkan untuk melakukan korban bagi anak jagaannya yang masih kecil (belum
baligh), dengan syarat binatang korban datang dari hartanya (yakni dibeli
dengan wangnya, bukan wang si anak). Dia seolah menghadiahkan binatang itu
kepada si anak, kemudian melakukan korban bagi pihaknya, maka untuknya pahala
hadiah dan untuk si anak pula pahala korban. Adapun melakukan korban dengan
mengambil dari harta si anak, tidak dibolehkan.
Secara umum, hukum melakukan ibadah korban untuk orang
lain –menurut mazhab Syafiie- adalah seperti berikut;
1. Melakukan korban untuk orang yang telah meninggal; terdapat
khilaf di kalangan ulamak dalam mazhab Syafiie sendiri. Sebahagian ulamak
berpendapat; dibolehkan kerana ia sebahagian dari sedekah dan telah ijmak para
ulamak bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah sah, berguna untuknya dan sampai
pahala kepadanya. Sebahagian ulamak berpendapat; berkorban untuk si mati hanya
sah jika dengan pesanan/wasiat darinya. Jika tanpa pesanan/wasiatnya, tidak sah
korban untuknya.
2. Melakukan korban untuk orang yang masih hidup yang
telah baligh (termasuk anak); tidak sah korban untuknya melainkan dengan
keizinannya.
3. Melakukan korban untuk anak yang belum baligh; hukumnya
seperti di atas tadi.
4. Melakukan korban untuk diri sendiri, tetapi
menyertakan orang lain dalam pahalanya (yakni meniatkan pahalanya untuk orang
lain sama), juga dibolehkan.
Rujukan;
1. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 8/299.
2. Mughni al-Muhtaj, 6/137.
3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/80
(perkataan ‘udhiyah’), 45/197 (perkataan ‘walad’).
Selasa, 24 September 2013
BAGAIMANA MENGALIHKAN ORANG SEDANG NAZAK KE ARAH QIBLAT?
Soalan; Askm ustaz. Saya ada satu
persoalan berkaitan dgn org yg sedang nazak sakit dan org mati. Soalan saya.
Kemana kah arah kaki org yg tersebut di atas sepatutnya hendak dihalakan,
ketika sesorang itu sedang sakit atau pun meninggal dunia, adakah hendak
dihalakan kaki ke arah kiblat ataupun sebaliknya. Saya minta ustaz tolonglg
huraikan kepada saya, berserta dgn hadis dan nas2 berkaitan soalan saya
tersebut, kerana ada sedikit percanggahan pendapat berkaitan hal ini. Terima
kasih..Askm.
Jawapan;
1. Mengalihkan orang
yang sedang nazak (hampir mati) ke arah qiblat –apabila nampak tanda-tanda
hampir mati padanya[1]- adalah
sunat dengan sepakat para ulamak kerana qiblat adalah arah yang paling baik sebagaimana
sabda Nabi SAW; “Sesungguh bagi
setiap perkara ada yang terbaik/paling utama. Sesungguhnya yang terbaik bagi
segala kedudukan ialah yang menghala ke arah qiblat” (Al-Mu’jam al-Ausat,
Imam at-Tabrani; 2354, dari Abu Hurairah RA. Status hadis; menurut al-Haitsami
dan al-Munziri; isnadnya hasan. Lihat; Faidhul Qadier; 2421).
Diriwayatkan dari
Abi Qatadah RA yang menceritakan; Ketika Nabi SAW tiba di Madinah baginda
bertanya tentang al-Bara’ bin Ma’rur. Orang ramai menjawab; ‘Ya Rasulullah, dia
telah meninggal. Dia memesankan agar 1/3 dari hartanya diserahkan kepadamu.
Ketika sedang nazak dia memesankan agar dialihkannya ke arah qiblat’. Nabi SAW
menjawab; “Dia telah menepati fitrah. Aku pulangkan 1/3 hartanya itu kepada
anaknya”. Kemudian Nabi SAW pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya. Baginda
berdoa untuknya; “Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia dan masukkanlah dia
ke dalam syurgaMu. Sesungguhnya Engkau telahpun melakukannya” (Mustadrak al-Hakim;
1305. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 6604. Status hadis; menurut al-Hakim;
hadis ini soheh. Az-Zahabi menyetujuinya).
Diriwayatkan dari
Saidina ‘Umar RA bahawa ia memesan anaknya; ‘Apabila aku hampir meninggal,
alihkanlah aku ke arah qiblat’. Pesanan yang sama juga ada diriwayatkan dari
Saidina ‘Ali RA (al-Fawakih ad-Dawani, 1/283).
2. Namun perkara
ini tidaklah perlu dititik-beratkan sangat jika memayahkan orang yang sedang
sakit itu atau orang lain (kerana rumah sempit dan sebagainya). Sa’id bin
al-Musayyab (seorang Tabi’in terkenal) semasa beliau sakit, orang ramai ingin
mengubah kedudukannya. Ia bertanya mereka; ‘Apa yang ingin kamu semula lakukan
terhadapku?’. Mereka menjawab kepadanya; ‘Kami ingin mengubah kedudukanmu agar
menghadap ke arah qiblat’. Ia menjawab; ‘Bukankah aku dari dulu lagi berada di
atas qiblat (yakni berada di atas agama Islam) hinggalah ke hari ini?’
(al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/286).
Berkata Ibnu Hazm; jika dapat diarahkan ke arah qiblat, elok
dilakukan. Jika tidak, tidak mengapa mengadap ke manapun kerana Allah berfirman
(bermaksud); “Ke mana pun kamu mengadap, di situlah wajah Allah” (surah
al-Baqarah, ayat 115). Berkata as-Sya’bi; ‘(Ketika nazak atau baru kematian) kamu
boleh sama ada ingin mengalihkannya ke arah qiblat atau tidak mahu mengalihnya.
Namun di dalam kubur, pastikan ia mengadap ke qiblat…” (al-Muhalla, Ibnu Hazm,
3/405).
3. Adapun cara menghadapkannya ke arah qiblat itu ada dua
cara;
a) Membaringkannya di atas rusuk kanan dengan muka dan
dada menghadap ke arah qiblat, iaitu sebagaimana kedudukan mayat dalam kubur.
Jika tidak dapat di atas rusuk kanan, di atas rusuk kiri dengan muka dan dada ke
arah qiblat.
b) Atau; membaringkannya di atas belakang dengan kaki
mengadap ke kiblat dan kepala ditinggikan sedikit (iaitu dengan meletakkan
lapik dibawahnya) supaya muka kelihatan mengadap ke qiblat.
Mana-mana satu dari dua cara di atas boleh dilakukan.
Namun para ulamak khilaf pada menentukan mana yang terbaik. Jumhur ulamak
(merangkumi mazhab Maliki, Hanafi dan kebanyakan ulamak mazhab Syafiie)
menyukai cara (a). Jika tidak boleh cara (a), baru cara (b). Imam Abu Muhammad
al-Juwaini dan Imam al-Ghazali menyukai cara (b). Berkata; Imam al-Haramain;
cara (b) lah yang biasa dilakukan manusia. (Rujukan; al-Majmu’, Imam an-Nawawi,
5/116. Hasyiyah al-‘Adawi, 1/407).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116.
2. Hasyiyah al-‘Adawi, Abul Hasan al-‘Adawi al-Maliki, 1/407.
3. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/286.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/80
(perkataan; ‘ihtidhar’), 10/299 (perkataan ‘tahwil’).
5. al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki,
1/283.
6. al-Muhalla bil Atsar, Ibnu Hazm, 3/405.
[1] Sebelum nampak
tanda-tanda hendak mati, makruh mengalihkannya ke arah kiblat kerana ia
menyakiti orang sakit (al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki,
1/283).
Isnin, 23 September 2013
AKAD MELALUI SMS
Soalan; assalam..ustaz, boleh
atau tidak aqad wakalah aqiqah/qurban dlm sms/email/whatsapp dan lain2? trm ksh ustaz..
Jawapan;
Sebarang akad tidak sah melainkan
dengan sighah yang jelas. Maksud sighah ialah pernyataan secara zahir dari
kedua pihak yang berakad sebagai tanda
kerelaan mereka untuk melakukan aqad. Ia meliputi ijab (iaitu pernyataan untuk
beraqad dari pihak yang memulakan akad) dan qabul (iaitu penerimaan/persetujuan
dari pihak kedua). Sighah (pernyataan) ini boleh berupa percakapan, tulisan, bahasa
isyarat yang difahami[1] atau dengan
perbuatan/tindakan (seperti satu pihak memberi dan satu pihak lagi mengambil). Secara ringkasnya
dapat kita katakan bahawa berakad melalui sms, email dan seumpamanya masuk
dalam hukum akad melalui tulisan. Para ulamak mengharuskannya dengan syarat
tulisan itu jelas (tiada kesamaran), benar datang dari pihak berakad dan
bertujuan akad.[2] Selain
itu, kedua pihak yang berakad hendaklah orang yang sah untuk berakad, iaitu; telah
baligh dan beraqal (waras).
Oleh kerana -melalui sms, email dan seumpamanya itu- aqad
dilakukan secara berjauhan, qabul dari pihak kedua dikira setelah tulisan
sms/email dari pihak pertama dibaca dan difahaminya dan ia menyatakan
persetujuannya selepas itu.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyyah, 28/160 (perkataan ‘sighah’).
2. al-Mu’amalaat al-Maliyah-2, as-Syubaily, hlm.
76.
3. at-Tijarah al-Iliktroniyah, ‘Ali
Muhammad Ahmad Abu al-‘Izzi, hlm. 190.
4. Hukm Ijra’ al-‘Uqud bil-Alati
al-Hadithah, Dr. al-Farfur (Majallah Majma’ al-Fiqh; 6/593).
[1] Beraqad
dengan isyarat hanya harus bagi orang yang tidak mampu bercakap dan menulis.
[2] Harus
berakad dengan tulisan sekalipun dapat bercakap. Namun dikecuali akad nikah,
tidak harus berakad nikah dengan tulisan selagi pihak yang berakad dapat
bercakap.
Rabu, 18 September 2013
HUKUM DAGING LANDAK
Soalan; assalam..ustaz,apakah
hukum makan daging landak..? ianya juga buas dan bertaring..trm ksh.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah,
wassolatu ‘ala Rasulillah.
Yang dilarang oleh hadis
ialah binatang buas bertaring yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam
dan membunuh mangsanya. Saya tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring
yang berfungsi sebegitu. Adapun pandangan para ulamak tentang landak adalah seperti
berikut;
1. Mazhab Hanafi dan
Hanbali; haram memakannya kerana ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak
yang dipandang keji (khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Dalam
al-Quran Allah berfirman (dengan maksud); “Dan dia (yakni Nabi Muhammad SAW)
mengharamkan ke atas kamu yang keji-keji” (surah al-A’raf, ayat 157).
2. Mazhab Maliki dan Syafiie;
harus memakannya kerana walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang
keji oleh manusia, kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab
Hayah al-Hayawan al-Kubra –kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan-,
pengarangnya (ad-Dumairi, wafat 808 hijrah) menjelaskan; Imam Syafiie berkata; “Landak
halal dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik”
(2/361). Di
antara kaedah dalam mazhab Syafiie -dalam menentukan jenis haiwan yang halal
dan yang haram-; “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang Arab maka
ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang mengharamkannya”.[1]
Ada diriwayatkan Nabi SAW
bersabda; “Landak adalah dari binatang-binatang yang keji” (Musnad Imam Ahmad;
5954. Sunan Abu Daud; 3799. Dari Abu Hurairah RA). Namun ulamak-ulamak hadis
menegasnya; sanad hadis ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang
majhul[2], tidak boleh dijadikan hujjah dalam hukum-hakam. Kerana itu para ulamak
masih berikhtilaf tentangnya (landak). Ulamak yang berpandangan dia binatang
yang baik/elok, mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang
keji, mereka mengharamkannya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144 (perkataan “at’imah”).
2. Kifayatul Akhyar, hlm.
522-523.
3. Hayah al-Hayawan
al-Kubra, Muhammad bin Musa ad-Dumairi, 2/361.
4. al-Fiqh al-Manhaji,
3/69.
a) Orang-orang
Arab yang hidup pada zaman Nabi SAW.
b) Yang
hidup/tinggal di bandar dan kawasan yang subur atau yang berhampiran dengannya.
Ini kerana orang-orang Arab yang tinggal di kawasan pedalaman dan hidup
berpindah-randah kebiasaan mereka memakan apa sahaja binatang yang melata dan
merangkak.
c) Yang
mempunyai tabi’at yang bersih.
d) Dirujuk
ketika musim subur dan senang (yakni bukan ketika musim kebuluran dan melarat
yang menyebabkan mereka terpaksa makan apa sahaja yang ada).
(Lihat;
Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523
dan Al-Fiqh al-Manhaji; 3/69).
[2] Lihat; Bulughul-Maram, Imam Ibnu hajar
(kitab al-At’imah; 1365) dan Tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan
beberapa ulamak yang lain (hadis no. 8954).
MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Soalan; ustaz, ingin penjelasan berkenaan hukum
memberi daging korban kepada orang kafir. Adakah harus? Adakah hilang pahala
korban? Terima kasih.
Jawapan;
Terdapat beza pandangan antara ulamak dalam masalah di
atas;
Pandangan pertama; daging korban tidak harus diberikan
kepada orang bukan Islam sekalipun kafir zimmi. Ia khusus untuk orang Islam
sahaja. Pandangan ini merupakan mazhab Syafiie.[1]
Menurut Imam Malik dan al-Laith; makruh memberinya kepada orang bukan Islam[2].
Pandangan kedua; harus memberi daging korban kepada orang
kafir zimmi. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Abu Hanifah, Hasan al-Basri, Abu
Tsur dan mazhab Hanbali. Pandangan ini juga ditarjih oleh Imam Nawawi dalam
kitabnya al-Majmu’. Menurut pandangan ini; daging binatang korban adalah
makanan, maka sebagaimana harus memberi makan orang kafir zimmi, maka harus
juga memberi daging korban kepada mereka kerana ia sebahagian makanan. Selain
itu, dikiaskan juga kepada keharusan memberi sedekah kepada orang kafir zimmi. Namun
menurut mereka; yang harus diberikan ialah dari korban sunat sahaja. Adapun
dari korban wajib (iaitu korban nazar), tidak harus diberi dagingnya melainkan
kepada orang-orang fakir dari kaum muslimin sahaja (iaitu menyamai hukum zakat
dan kaffarah sumpah).
Pandangan ulamak semasa; Syeikh Ibnu Usaimin (ulamak
besar Arab Saudi) menegaskan; dibolehkan memberi daging korban kepada orang
kafir dengan syarat bukan orang kafir yang memusuhi orang Islam. Dalilnya ialah
firman Allah (bermaksud); “Allah tidak
melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang
tidak memerangi kami dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung
halamanmu. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu dari menjadikan mereka
sebagai kawanku orang-orang (kafir) yang dalam urusan agama dan mengusir kamu
dari kampong halamanmu dan membantu orang lain untuk mengusirmu. Sesiapa
menjadikan mereka sebagai kawan, mereka itulah orang yang zalim” (surah
al-Mumtahanah, ayat 8-9).[3]
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 8/316.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 9/450.
2. al-Iqna’, Syeikh as-Syirbini, 1/593.
3. Fatawa Nur ‘Ala ad-Darb, Ibnu Usaimin; 13/2.
[1]
Lihat; al-Iqna’, Syeikh as-Syirbini, 1/593.
[2]
Menurut Imam al-Laith; makruh memberi daging korban kepada orang bukan Islam,
kecuali jika daging itu dimasak kemudian dijemput orang bukan Islam untuk
menikmatinya bersama orang Islam, tidaklah makruh (al-Majmu’, 8/316).
[3]
Fatawa Nur ‘Ala ad-Darb, Ibnu Usaimin; 13/2.
MAKSUD KORBAN NAZAR
Soalan; salam ustaz, boleh tolong jelaskan kepada saya
tentang korban nazar dan bagaimanakah sesuatu korban itu boleh menjadi korban
nazar.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.
Hukum asal ibadah korban menurut jumhur ulamak (termasuk
mazhab Syafiie) ialah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut dan makruh
meninggalkannya bagi yang mampu. Ia berubah menjadi wajib apabila dinazarkan. Nazar
bermaksud; seorang mukallaf dengan pilihannya sendiri telah melafazkan ucapan
untuk mewajibkan ke atas dirinya suatu amalan yang asalnya tidak wajib (iaitu
sunat sahaja), dengan ucapannya itu amalan tersebut menjadi wajib atas dirinya.
Ucapan nazar itu boleh dengan bahasa nazar itu sendiri seperti berkata; ‘Jika
sembuh sakitku, aku bernazar untuk bersedekah” dan boleh juga dengan bahasa
lain yang mewajibkan ke atas diri seperti berkata; “Jika Allah menyembuhkan
sakitku, wajib atas diriku bagi Allah sedekah dengan nilai sekian sekian”.
Bagi ibadah korban, ia menjadi nazar apabila seorang
berkata; “Aku bernazar untuk berkorban pada tahun ini”, atau berkata; “Wajib ke
atas diriku bagi Allah berkorban pada tahun ini” atau berkata; “Jika sakitku
sembuh, wajib atas diriku untuk berkorban pada tahun ini”. Bagi lafaz terakhir
(iaitu “jika sakitku sembuh, wajib atas diriku berkorban”) korban hanya menjadi
wajib jika perkara yang diikat dengan korban itu benar-benar berlaku (dalam kes
ini; sembuh dari sakit). Ia dinamakan nazar muqayyad (iaitu nazar berkait). Adapun
nazar dengan lafaz sebelumnya dinamakan nazar mutlak (nazar bebas).
Nazar wajib dilaksanakan kerana Allah berfirman (yang
bermaksud); “(Di antara sifat orang-orang yang baik/taat ialah) mereka memenuhi
nazar mereka…” (surah al-Insan, ayat 7). Nabi SAW bersabda; “Sesiapa bernazar
untuk mentaati Allah (yakni bernazar untuk melakukan suatu amalan ketaatan),
hendaklah dia mentaati Allah (dengan melaksanakan nazarnya itu)” (Soheh
al-Bukhari; 6696, dari ‘Aisyah RA).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/78
(perkataan ‘udhhiyah’), 40/136 (perkataan ‘nazr’).
Isnin, 16 September 2013
PATUNG MAINAN ANAK BERUPA DAJJAL; MATA SATU
Soalan; As salamu'alaikum..ustaz..saya nak
bertanya satu soalan & berharap ustaz memberi pandangan
ustaz..Mengenai watak kartun minion yg bermata satu dlm kartun dispicable me.
saya telah membeli ank patung(soft toy) yg bermata satu tersebut untuk anak saya.
Adakah perbuatan itu salah? Adakah ia akn terpesongkan akidah kita?? adakah akan
mengkafirkan & mengjahilkan sifat seseorg tu? Sedangkan kita sebagai ibu
bapa tak terlintas & tidak ada niat lansung tentang anak patung yg
menyerupai dajal..Sehingga ada segelintir hamba allah juga myatakan logo disney
juga menyerupai mata satu dan disarankan supaya tidak membeli barang yg
berjenama disney kerana logonya seakan akan bermata satu..adakah perbuatan saay
salah, berdosa,&memesongkan akidah saya ustaz? harap ustaz dpt penjelasan
yg lebih terperinci? terima kasih..
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.
1. Di antara tanda iman ialah kita menyintai orang yang dicintai Allah dan membenci orang yang dibenci Allah. Maksud menyintai itu termasuklah kepada sifat-sifat dan keperibadiannya. Dajjal adalah di antara makhluk yang dibenci Allah kerana ia menyesatkan manusia. Segala imej yang menyerupai orang yang dibenci Allah atau menggambarkan apa-apa sifatnya hendaklah dijauhi dari anak-anak sekalipun hanya berupa mainan.
2. Dari segi gambaran Dajjal bermata satu, gambaran itu tidaklah tepat. Apa yang disebut dalam hadis ialah; buta sebelah matanya, bukan bermata satu. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan akan memperingatkan umatnya tentang seorang penipu yang buta sebelah matanya (iaitu dajjal). Ketahuilah bahawa ia buta sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta sebelah matanya. Di tengah antara dua matanya tertulis ‘kafir’” (Soheh al-Bukhari; 7408. Soheh Muslim; 2933, dari Anas bin Malik RA). Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda; “Dajjal itu mata kirinya buta, rambutnya lebat/kusut, serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya adalah syurga, sedang syurganya adalah neraka” (Soheh Muslim, 2934, dari Huzaifah RA).
3. Dari segi dosa, tidaklah dikira dosa perkara yang kita lakukan kerana tersalah atau jahil. Kita hanya berdosa jika tidak membetulkan kesalahan dan kejahilan itu setelah mengetahui apa yang benar tentangnya.
Wallahu a'lam.
HUKUM ISTERI TURUT SAMA MENANGGUNG BELANJA RUMAH
Soalan; Assalamualaikum. Sy ada sedikit kekeliruan
tentang nafkah. Semasa di awal perkahwinan, sy pernah memberitahu suami bahawa
sy akan membantu suami untuk membayar bil2 utiliti untuk mengurangkan beban
suami. Kadang2 sy turut mengeluarkn wang untuk membeli belanja seharian.
Setelah beberapa tahun berkahwin, sy dapati pendapatan suami telah meningkat
dan sy yakin suami boleh menggunakan wang tersebut untuk membayar bil2
tersebut. Masalahnya adalah sekarang suami seolah2 menganggap sy wajib membayar
bil2 rumah dan kadangkala turut mengatakan ayat bahawa asyik dia sahaja yang
mengeluarkan wang belanja rumah, minyak kereta dan sebagainya. Apabila sy
memberitahu itu adalah tanggungjawabnya sebagai suami, dia akan mengungkit
bahawa dia telah banyak mengeluarkan duit sendiri. Apakah hak sy sebagai isteri
dlm permasalahan ini? Mintak penjelasan ustaz. Terima kasih.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.
1. Nafkah bagi kehidupan suami-isteri (iaitu
belanja-belanja keperluan hidup untuk mereka) adalah tertanggung sepenuhnya di
atas bahu suami. Ia adalah kewajipan suami yang ditetapkan Syariat. Sabda Nabi
SAW; “Wajib atas kamu (para suami) menyediakan untuk mereka (yakni
isteri-isteri kamu) rezki mereka dan pakaian mereka mengikut kebiasaannya” (Soheh
Muslim; 1218. Abu Daud; 1905, dari Jabir bin Abdullah RA). Menurut ulamak;
maksud rezki dalam hadis ialah nafkah hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat
tinggal dan sebagainya. Hukumnya adalah wajib atas suami.[1]
Berkata Imam an-Nawawi; terkandung dalam hadis ini kewajipan (suami) menafkahi isteri
dan menyediakan pakaian untuk mereka. Hukum ini telah diijmakkan oleh ulamak”.[2]
2. Digalakkan isteri membantu suami, namun bukan atas
dasar kewajipan , tetapi semata-mata ihsan darinya sahaja. Para suami perlu
menyedari hakikat ini. Tidak harus mereka memaksa isteri untuk turut sama
menanggung nafkah keluarga. Isteri yang engkar kepada arahan suami dalam
perkara tersebut tidak dianggap sebagai nusyuz di sisi Syariat. Dalam hal ini
suami tidak harus menggunakan kuasa vetonya, sebaliknya mengesyorkan secara
baik kepada isteri. Isteri pula jangan keberatan membantu kewangan suami selagi
termampu kerana wang/harta yang dibelanja untuk suami dan keluarga akan diberi
dua pahala/ganjaran oleh Allah; pahala sedekah dan pahala qarabah. Ini
sebagaimana sabda Nabi SAW –tatkala baginda ditanya berkenaan isteri yang
membelanjai suami dan anak-anaknya-; “Untuknya dua pahala; pahala qarabah
(mengeratkan ikatan keluarga) dan pahala sedekah” (Soheh al-Bukhari; 1466.
Muslim; 1000).
3. Apabila suami mengizinkan isteri untuk keluar
berkerja, pendapatan isteri adalah milik penuhnya. Tidak harus diambil suami
melainkan dengan persetujuannya. Kecuali jika suami mengsyaratkan sebahagian
pendapatan hendaklah digunakan untuk belanja rumah sebagai tukaran kepada
keizinan yang diberinya untuk keluar berkerja, ketika itu isteri terikat dengan
syarat tersebut. Nabi SAW bersabda; “Orang Islam terikat dengan syarat (yang
dipersetujui) sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau
menghalalkan yang haram” (as-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 11430, dari ‘Amru bin ‘Auf
al-Muzani RA). Tanpa syarat tersebut, kewajipan nafkah sepenuhnya atas suami.[3]
Wallahu a’lam.
Langgan:
Catatan (Atom)
BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?
Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...
-
Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal m...
-
Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni keran...
-
Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al...