Friday, September 30, 2016

MENGANGKAT TANGAN KETIKA KHATIB BERDOA DALAM KHUTBAH JUMAAT

Soalan; saya ada mendengar seorang ustaz berkata; mengangkat tangan ketika khatib berdoa dalam khutbah adalah bid'ah dan dicela oleh sahabat Nabi RA. Betulkah, ustaz?

Jawapan;

Ustaz tersebut mungkin merujuk kepada hadis dari Hushain bin Abdirrahman yang menceritakan; Aku berada di sebelah Umarah bin Ruaibah RA (seorang sahabat Nabi SAW) ketika Bisyr bin Marwan sedang berkhutbah. Ketika berdoa, Bisyr mengangkat dua tangannya. Lantas 'Umarah RA berkata; 'Semoga Allah mencela dua tangannya itu. Sesungguhnya aku telah menyaksikan Rasulullah SAW (berkhutbah) di mana baginda tidak pernah melebihi dari sekadar mengisyaratkan dengan tangannya seperti ini', sambil dia menunjukkan dengan jari telunjukkannya (Musnad Ahmad; 17224. Soheh Muslim; 874/53).

Namun jika kita perhatikan, yang dicela oleh 'Umarah RA adalah khatib yang berkhutbah. Kerana itu berdalilkan hadis tersebut, para ulamak -antaranya Imam an-Nawawi- menegaskan; Yang menjadi sunnah bagi khatib ialah tidak mengangkat tangan ketika berdoa di atas mimbar, kecuali bagi kes tertentu seperti doa minta hujan kerana ada hadis menceritakan Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa memohon hujan di dalam khutbahnya (Syarah Soheh Muslim). Berkata as-Syaukani; hadis tersebut menunjukkan bahawa makruh mengangkat tangan ketika berdoa di atas mimbar dan ia adalah bid'ah (Nailul-Autar). 

Adapun makmum, ia tidak bersangkutan dengan hadis tersebut. Maka ia kekal di atas hukum asal iaitu disunat mengangkat tangan ketika berdoa atau ketika mengaminkan doa selama tangan tidak sibuk dengan suatu tugas/amalan. Dalil bagi galakan mengangkat tangan ketika berdoa atau mengaminkan doa cukuplah banyak dari hadis-hadis Nabi SAW, antaranya;

1. Sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
"Seungguhnya Allah adalah Tuhan maha pemalu lagi maha pemurah. Dia malu (*dengan maksud yang layak bagiNya) apabila seorang lelaki mengangkat dua tangan (memohon) kepadaNya lalu Dia mengembalikan dua tangan itu dengan kosong dan hampa" (Sunan at-Tirmizi; 3556, dari Salman RA. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan).

2. Abu Musa RA menceritakan; 

دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ بِهِ، ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: «اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدٍ أَبِي عَامِرٍ» وَرَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ، فَقَالَ: «اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ يَوْمَ القِيَامَةِ فَوْقَ كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِكَ مِنَ النَّاسِ»
"Nabi SAW meminta air, lalu baginda mengambil wudhuk. Kemudian baginda mengangkat kedua tagannya dan berdoa; 'Ya Allah, kurniakanlah keampunan untuk 'ubayd Abi 'Amir'. Kata Abu Musa; aku melihat putihnya ketiak baginda. Baginda berdoa lagi; 'Ya Allah, jadikanlah dia pada hari kiamat lebih tinggi dari ramai makhlukMu dari kalangan manusia'" (Soheh al-Bukhari; 6383).

Berkata Imam an-Nawawi; telah sabit Nabi SAW mengangkat dua tangannya ketika berdoa dalam banyak tempat, tidak terbilang jika hendak dihitung. Dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim sahaja aku boleh menghimpunkan lebih dari 30 hadis yang menyebutnya (Dinaqal dari Nailul-Autar).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; 6/162.
2. Fatwa Majlis Fatwa UAE (Emirate Arab Bersatu), fatwa no. 152 (25 Februari 2008).
3. Nailul Autar, 3/322.


ADAKAH DITUNTUT MENJAWAB AZAN KETIKA SEDANG MENGAMBIL WUDHUK?

Soalan; ketika sedang mengambil wudhuk, saya terdengar azan, adakah saya perlu jawab azan itu? Ada orang kata semasa ambil wudhuk tidak boleh bercakap.

Jawapan;

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya; menjawab azab disunatkan sekalipun oleh orang yang sedang mengambil wudhuk. Makruh bercakap ketika wudhuk adalah bagi percakapan yang bukan zikir, adapun menjawab azan adalah zikir, maka tidak dimakruhkan, malah disunatkan megucapkannya. 

Jika selesai wudhuk bertepatan dengan habisnya azan, menurut Imam al-Bulqini; dahulukan bacaan zikir selepas wudhuk, kemudian baru bacaan selepas azan, kemudian doa untuk diri sendiri.

Wallahu a'lam.

Rujukan; al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Hajar al-Haitami (w974H), 1/60.

Thursday, September 29, 2016

BILA MASANYA HENDAK BERPALING KETIKA MEMBERI SALAM?

Soalan; ketika memberi salam di hujung solat; adakah kita memberi salam dulu baru berpaling ke kanan atau ke kiri, atau kita berpaling bersama-sama memberi salam?

Jawapan;

Mula-mula kita lafazkan "Assalamu alaikum" dengan muka masih menghadap ke kiblat, kemudian bila menyebut "Wa rahmatullah" barulah kita memalingkan muka ke kanan atau ke kiri. Dengan cara ini kita dapat mengelak dari berpaling ketika masih dalam solat kerana selagi belum melafazkan salam, selagi itu kita dikira masih dalam solat. Maka apabila kita melafazkan salam terlebih dahulu, kemudian baru berpaling, kita berpaling setelah menyelesaikan solat dengan melafazkan salam. 

Mengenai larangan berpaling dalam solat, ia disebut oleh hadis dalam Soheh al-Bukhari dari 'Aisyah RA yang menceritakan; Nabi SAW pernah ditanya tentang berpaling di dalam solat, lalu baginda menjawab;

«هُوَ اخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ العَبْدِ»
"Perbuatan itu adalah salah satu cara Syaitan mencuri tumpuan seorang hamba dari solatnya" (Soheh al-Bukhari; 751).

Rujukan;

1. Syarah 'Umdatil Ahkam, Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha.
2. al-Mughni, Imam Ibnu al-Qudamah, 1/399.

Monday, September 26, 2016

SUAMI MELARANG ISTERI DARI MENZIARAHI DUA IBU-BAPANYA

Soalan; Adakah harus suami dengan sengaja –yakni tanpa sebab yang munasabah- melarang isteri dari pulang menjenguk ibu/bapanya, lagi pula mereka telah tua dan sakit?

Jawapan;

Berbuat baik kepada dua ibu-bapa merupakan tuntutan yang besar dalam Syariat Islam, begitu juga menghubungkan silaturrahim. Maka suami sebagai ketua keluarga, wajib mendorong isteri supaya melaksanakan tanggungjawabnya, bukan menghalangnya. Suami yang menghalang isteri dari menziarahi ibu atau bapanya (tanpa suatu sebab yang munasabah) –apatahlagi mereka telah tua dan sedang sakit- dia telah melakukan beberapa dosa;
1.    Dosa menghalang isteri dari menunaikan kewajipan kepada ibu-bapanya,
2.    Dosa menyebabkan terputusnya silaturrahim (ikatan kekeluargaan) antara isterinya dan keluarganya.
3.    Dosa tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya.

Allah berfirman;

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan; janganlah kamu semua menyembah melainkan Dia dan berbuat-baiklah kepada dua ibu-bapa” (surah al-Israk, ayat 23).

Seorang wanita –sebagaimana juga lelaki- wajib berbuat baik dan berbakti kepada dua ibu-bapa. Sekalipun seorang wanita telah berkahwin, kewajipannya untuk berbuat-baik dan berbakti kepada dua ibu-bapanya –seperti yang disuruh oleh ayat di atas- tidak tamat terutamanya apabila mereka memerlukannya dan dia mampu menunaikannya.

Mengenai dosa memutuskan silaturrahim, Nabi SAW bersabda;

الرَّحِمُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ تَقُولُ مَنْ وَصَلَنِي وَصَلَهُ اللهُ، وَمَنْ قَطَعَنِي قَطَعَهُ اللهُ
“Ikatan rahim (kekeluargaan) bergantungan di Arasyh Allah, di mana dia berseru; ‘Siapa menghubungkanku, nescaya Allah akan menghubungkannya (dengan rahmat dan kasih-sayangnyaNya) dan sesiapa memutuskanku, nescaya Allah akan memutuskannya (dari rahmat dan kasih-sayangNya)” (Soheh Muslim; 2555/17. Dari ‘Aisyah RA).

Difahami dari hadis ini bahawa suami yang menjadi penyebab terputusnya ikatan isterinya dengan keluarganya, dibimbangi Allah akan membalasnya dengan terputus ikatan rahmat dariNya, yakni dia akan terhadang dari mendapat rahmat Allah.

Di antara perintah Allah kepada suami ialah;

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ  
“Dan layanilah mereka (yakni isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang sepatutnya” (surah an-Nisa’, ayat 19).

Menghalang isteri dari pulang menjenguk ibu-bapanya atau menziarahi keluarganya tanpa sebab yang munasabah bertentangan dengan layanan yang baik kepada isteri yang disuruh oleh ayat ini.

Mazhab Hanafi menyebutkan; suami tidak harus menegah isterinya dari keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya setiap kali jumaat (yakni seminggu sekali) dan bagi selain ibu-bapa pula ialah setahun sekali. Menurut Imam Abu Yusuf; jika dua ibu-bapa isteri berupaya untuk datang menziahari anak mereka di rumah suami, suami berhak menegahnya dari keluar. Jika mereka tidak mampu datang, wajib suami membenarkan isterinya untuk keluar menziarahi mereka.

Menurut mazhab Maliki; Tidak harus suami menegah isteri dari keluar menziarahi dua ibu-bapanya dan saudaranya –tanpa suatu sebab- jika terjamin keselamatannya.

Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; adalah menjadi hak suami untuk menegah isteri keluar dari rumah sekalipun untuk menjenguk dua ibu-bapanya atau menziarahi mereka ketika sakit atau menghadiri jenazah mereka dan isteri wajib mematuhinya, namun jika tanpa sebab yang munasabah perbuatannya itu adalah makruh (dibenci oleh Syarak).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.    Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah; Az-Zawaj, Syeikh Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 287-288.

2.    Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Mufti; Dr. Nasr Farid Wasil, no. fatwa; 6678, tahun 2001).

Saturday, September 24, 2016

JAMAK SOLAT KERANA DIALISIS

Soalan; assalamualaikum ustaz, saya menjalani rawatan dialisis (buah pinggang). Tempoh dialisis memakan masa empat (4) jam. Adakalanya saya akan terlepas waktu magrib. Adakah wajib saya mengqadhakan solat magrib?

Jawapan;

Ya, solat fardhu yang terluput wajib diqadha. Namun dalam kes di atas, saudara boleh menjamakkan solat dengan bertaklid kepada para ulamak yang membenarkan kita menjamakkan solat kerana sakit atau kepayahan, antara mereka;

1. Imam Ahmad, Qadhi Husain (bermazhab Syafi’ie), al-Mutawalli (bermazhab Syafi’ie), ar-Ruyani (bermazhab Syafi’ie), al-Khattabi dan Imam an-Nawawi; mereka berpandangan; “Diharuskan menjamak solat kerana uzur sakit atau kerana keuzuran-keuzuran lain yang seumpamanya”.

2. Imam Ibnu Sirin, Asyhab (bermazhab Malik), Ibnu al-Munzir, al-Qaffal (bermazhab Syafi’ie), asy-Syasyi al-Kabir (bermazhab Syafi’ie) dan Ibnu Syabramah, mereka berpendapat; “Harus menjamakkan solat ketika dalam negeri (yakni tanpa bermusafir) jika ada suatu desakan atau keperluan asalkan tidak dijadikan kebiasaan”.

Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah menunaikan solat Zohor dan Asar dengan menjamakkan (kedua-duanya) di Madinah, tanpa sebab ketakutan dan juga tanpa sebab musafir” Dalam riwayat lain; “…tanpa sebab ketakutan dan tanpa sebab hujan”. Ibnu ‘Abbas ditanya; “Kenapakah baginda melakukan demikian?”. Beliau menjawab; “Baginda tidak mahu memberatkan umatnya” (Soheh Muslim; 705/83).

Maka, (memakai pandangan ini) apabila saudara memulakan dialisis selepas asar, bila saja masuk waktu maghrib dan dialisis saudara belum selesai (dijangka selesai bila masuk isyak), saudara boleh berniat dalam hati untuk menganjakkan solat maghrib ke dalam waktu Isyak. Bila dialisis saudara selesai, lakukan kedua-dua solat (maghrib dan isyak) di dalam waktu isyak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 5/221.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/176.
2. Dalail al-Ahkam, juz. 1, hlm. 419-420.
3. Kifayatul-Akhyar, hlm. 141-142.

Thursday, September 22, 2016

HUKUM TUGU DAN PATUNG YANG BUKAN UNTUK DISEMBAH

Soalan; Apa hukum patung atau tugu yang dibuat bukan untuk disembah?

Jawapan;

Membuat dan menyimpan patung (termasuk tugu) yang berupa makhluk bernyawa dilarang di dalam Islam. Nabi SAW bersabda;

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلَا تَمَاثِيلُ
“Para malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan patung-patung” (Soheh Muslim; 2106/87. Dari Abi Talhah al-Ansari RA).

Abu Hayyaj al-Asadi menceritakan; Saidina ‘Ali RA berkata kepadaku; ‘Ketahuilah bahawa aku mengutusmu untuk melaksanakan tugas sebagaimana aku dulu diutuskan oleh Nabi SAW untuk melakukannya, iaitu; “Jangan engkau biarkan satu patungpun melainkan hendaklah engkau musnahkan, dan jangan biarkan satu kuburpun yang tinggi dari yang lain (yakni dibuat binaan di atasnya) melainkan hendaklah kamu ratakan” (Soheh Muslim; 969/93).

Abu Hurairah RA menceritakan; Rasulullah SAW telah menceritakan; Jibril AS telah datang kepadaku, lalu berkata; ‘Sebenarnya kelmarin aku telah datang kepadamu, namun aku terhalang memasuki rumah kamu kerana di pintu rumah terdapat patung lelaki-lelaki, di dalam rumah pula terdapat tirai yang terdapat gambar-gambar patung padanya, begitu juga terdapat anjing di dalam rumah. Hendaklah kamu menyuruh supaya dikerat/dipotong kepala patung yang terdapat di pintu rumah hingga ia menjadi seperti rupa pokok (yakni tidak berupa haiwan lagi), dipotong kain tirai dan dijadikan dua kain lapik yang dihampar untuk dipijak (atau diduduki). Anjing pula suruhlah agar diusir keluar. Lantas Nabi SAW melakukan sebagaimana yang disuruh oleh JIbril RA (Sunan at-Tirmizi; 6806. Hadis hasan).

Hadis ini menolak pandangan yang menganggap patung yang dilarang hanyalah yang dijadikan sembahan atau dibimbangi dijadikan sembahan, kerana tidak tergambar oleh sesiapapun bahawa patung yang ada dalam rumah Nabi SAW adalah untuk sembahan.[1]

Menurut Syeikh ‘Atiyah Saqar;[2] “Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa haram menyimpan patung (yang berupa makhluk bernyawa) jika tujuannya adalah untuk penyembahan dan pemujaan, kerana ia adalah rijs (kotoran) yang disebut Allah dalam firmanNya;

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
“Jauhilah rijs (kotoran) iaitu berhala-berhala, dan jauhilah perkataan dusta” (Surah al-Haj, ayat 30).

Jika tujuan menyimpannya bukan untuk sembahan atau pemujaan, ia turut diharamkan jika mempunyai ciri-ciri berikut;
1. Patung itu sempurna anggota-anggotanya.
2.  Tidak ada keperluan untuk membuat atau menyimpannya.
3.   Dibuat dengan bahan yang boleh kekal dalam tempoh yang lama seperti kayu, logam atau batu.

Merujuk kepada ciri-ciri di atas, dikecualikan dari hukum haram tadi patung-patung berikut;

1. Patung yang tidak sempurna, iaitu patung yang berbentuk separuh badan, atau yang kurang anggotanya sekira-kira jika diandaikan patung itu makhluk hidup, ia tidak akan dapat hidup tanpa anggota itu (seperti patung yang tidak berkepala dan sebagainya). Patung jenis ini tidak haram, namun makruh. Menurut mazhab Maliki; diharuskan patung yang berlubang yang menghalang hidup (jika diandaikan ia hidup) sekalipun lubang itu kecil. Mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan lubang itu besar.

2. Dibolehkan patung yang dibuat untuk suatu maslahah seperti sebagai permainan kanak-kanak perempuan (untuk pendidikan mereka) atau sebagai alat bantuan dalam pembelajaran, kerana Nabi SAW tidak melarang ‘Aisyah RA ketika melihat dia bermain dengan patung kanak-kanak perempuan bersama rakan-rakan perempuannya (*ketika mula tinggal dengan Nabi SAW, ‘Aisyah RA baru berusia 9 tahun), sebagaimana yang diceritakan oleh hadis dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim.[3] Para ulamak menjelas illah (sebab)nya, iaitu; patung permainan itu dibolehkan sebagai latihan atau bimbingan bagi kanak-kanak perempuan untuk masa depannya.
3. Sekiranya patung dibuat dari bahan yang tidak kekal lama seperti dibuat dari manisan atau tepung, sebahagian ulamak mazhab Maliki mengharuskannya, antaranya Ibnu al-Faraj al-Maliki dan Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya (Tafsir al-Qurtubi; surah Saba’, ayat 13)” (Tamat fatwa Syeikh ‘Atiyah Saqar).

Kesimpulan; pada dasarnya, patung yang berupa makhluk bernyawa (yakni manusia atau haiwan) -jika memenuhi ciri-ciri di atas- adalah dilarang oleh Syariat Islam sekalipun tidak dijadikan sembahan kerana hadis-hadis Nabi SAW yang melarangnya bersifat umum.

Wallahu a’lam.




[1] Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no. 7458.
[2] Himpunan Fatwa Dar al-Iftak al-Misriyyah, 10/96.
[3] Saidatina ‘Aisyah RA menceritakan; ‘Aku bermain dengan patung kanak-kanak perempuan ketika telah tinggal bersama Nabi SAW. Aku juga mempunyain kawan-kawan perempuan yang turut bermain denganku” (Soheh al-Bukhari; 6130. Soheh Muslim; 2440/81).

Saturday, September 17, 2016

PANDUAN SOLAT JENAZAH GHAIB

Apa yang dimaksudkan jenazah ghaib? 

Jenazah ghaib bermaksud jenazah yang tidak hadir bersama orang yang mensolatkannya.

Adakah harus melakukan solat ke atas jenazah yang ghaib?

Menurut mazhab Syafiie; diharuskan (dibolehkan) mengerjakan solat ke atas jenazah yang ghaib bagi jenazah yang berada di luar negeri, sama ada jenazah itu berada di arah kiblat atau bukan arah kiblat.(1) Adapun jenazah yang berada dalam negeri, tidak harus disolatkan secara ghaib, yakni mesti disolatkan dengan jenazah hadir di hadapan orang-orang yang mensolatkannya.(2)

Solat ke atas jenazah tersebut boleh dilakukan sekalipun telah dikebumikan.

Apakah dalil keharusan mensolatkan jenazah yang ghaib?

 Abu Hurairah RA menceritakan; “Ketika di Madinah, Nabi SAW telah memberitahui kepada sahabat-sahabat baginda berita kewafatan raja Najasyi RA (di Habsyah). Kemudian baginda mensolatkan jenazahnya (secara ghaib) dan para sahabat turut solat di belakang baginda” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Apakah syarat-syarat bagi membolehkan solat jenazah secara ghaib dilakukan?

1. Hendaklah jenazah berada di luar negeri sebagaimana dinyatakan tadi.

2. Hendaklah diketahui bahawa jenazah telah dimandikan. Tidak sah solat jenazah sebelum dimandikan.(3)

Apakah kaifiyat solat jenazah secara ghaib?

Kaifiyatnya sama seperti solat jenazah biasa, iaitu dilakukan dengan 4 kali takbir dan membaca Fatihah setelah takbir pertama, selawat setelah takbir kedua, berdoa untuk jenazah setelah takbir ketiga dan memberi salam setelah takbir keempat. Yang berbeza hanyalah pada niat iaitu hendaklah diniatkan “mengerjakan solat ke atas jenazah yang ghaib (tiada di hadapan)”. Contoh niat;

“Sahaja aku mengerjakan solat ke atas jenazah (si fulan) yang ghaib, dengan 4 takbir, fardhu kifayah, menjadi makmum, kerana Allah”.

 Sebagaimana sedia diketahui, niat solat wajib dihadirkan ke dalam hati ketika melafazkan takbir pertama (yakni takbiratul ihram).(4)

Adakah solat jenazah secara ghaib itu boleh dilakukan setelah solat subuh dan solat asar?

Boleh, kerana solat jenazah tergolong dalam solat bersebab (seperti solat tahiyyatul masjid, solat gerhana dan sebagainya). Solat yang dilarang pada waktu-waktu yang ditegah solat ialah solat tanpa sebab.(5)

Wallahu a’lam.

Nota kaki; 
(1) Al-Majmuk (Imam an-Nawawi), 5/206.
(2) Al-Majmuk, 5/206.
(3) Mughni al-Muhtaj (Syeikh Khatib al-Syirbini), 2/27.
(4) Kifayatul Muhtadi, 143.
(5) Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim, 6/110.

Thursday, October 29, 2015

BEZA ANTARA ZAT DAN SIFAT ALLAH

Soalan; ustaz ape beza antara zat dan sifat Allah?

Jawapan;

Bismillah. Zat bermaksud hakikat sesuatu yang membezakannya dari yang lain. Ada ulamak memberi makna zat dengan nafs (diri), zat sesuatu = diri sesuatu. Sifat pula ialah nama/sebutan yang menunjuk kepada keadaan-keadaan zat atau tanda yang bersifat lazim pada zat yang dengannya ia dikenali. Allah tidak serupa dengan makhluk, maka zatNya dan juga sifatNya berbeza dari mana-mana makhlukNya.

Wallahu a'lam. 

Rujukan;
1. at-Ta'rifaat, 'Ali bin Muhammad al-Jurjani.

SUKA BERANGAN; ADAKAH ADA KAITAN DENGAN SYAITAN

Soalan; Assalam ustaz...ape pandangan ustaz terhadap org yg suka berangan...ade kene mngena ke dengan syaitan?

Jawapan;


Bismillah. Berangan tentang perkara-perkara yang baik seperti berangan untuk masuk syurga, berangan untuk berjaya dalam hidup (dalam perniagaan, pelajaran dan sebagainya), berangan berkahwin dengan lelaki/wanita yang soleh/solehah, berangan untuk jadi orang kaya beriman dan sebagainya semua itu adalah angan-angan yang baik dan diredhai Syariat. Tidak ada kejayaan melainkan bermula dari angan-angan.

Adapun berangan tentang perkara-perkara yang jahat atau maksiat seperti berangan untuk hidup bebas tanpa terikat dengan batasan Syarak, untuk berzina, minum arak, angan-angan berupa hasad dan sebagainya dari amalan-amalan yang ditegah Syariat, maka berangan seperti itu adalah bisikan dari Syaitan dan jika tidak ditahan akan menjerumuskan diri ke dalam maksiat. Kerana itu Allah berfirman (yang bermaksud);  

"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" (surah Fussilat, ayat 36).

Wallahu a'lam.

Saturday, October 24, 2015

WAKAF DARI ORANG BUKAN ISLAM

Soalan; Assalamu alaikum Ustaz. Saya ada satu soalan..kawan baik sya non muslim (david) ada sorang kawan muslim yg baru meninggal..sya ada bercerita pada David berkenaan amalan2 yg pahalanya berterusan meskipun telah meninggal dunia seperti amalan waqaf.

Soalan sya..apa hukum david mengeluarkan duit utk mewaqafkan sesuatu benda (seperti pokok kurma) bg pihak kawan muslim yg sudah meninggal.adakah amalan itu sah (sebab dilakukan oleh non muslim) dan adakah pahala itu smpi kpd simati?

Mohon pencerahan drpd ustaz. terima kasih banyak ustaz.
 
Jawapan;
 
Bismillah. Masalah tersebut masuk dalam perbahasan ulamak berkenaan wakaf orang kafir untuk kaum muslimin (seperti dia memberi wakaf untuk masjid dsbnya). Menurut para fuqahak (termasuk mazhab Syafiie): pada dasarnya wakaf dari orang kafir zimmi adalah sah. Namun pahala dari pemberiannya itu akan diganti Allah dengan habuan di dunia, adapun di akhirat tiada sebarang pahala untuknya. Terdapat hadis dari Nabi SAW dalam Soheh Muslim menyebutkan; "Adapun orang kafir, kebaikan-kebaikannya untuk Allah akan (dibalas) dengan  dikurniakan makanan untuknya di dunia, namun apabila dia tiba di akhirat tiada lagi sebarang kebaikan untuknya yang akan dibalas" (Soheh Muslim; kitab Sifat al-Qiyamah, 56/2808).
 
Bila dia meniatkan pahala itu untuk saudaranya yang telah mati, insya Allah pahala dari kebaikan wakaf itu akan sampai kepada si mati di barzakh. 
 
Wallahu a'lam.
 
Rujukan;
 
1. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 44/129. 
2. Ahkam Ghair al-Muslimin Fi  Nidzam al-Waqf al-Islami, Dr. Adam Nuh.

ANTARA MENJAGA 'AIB DAN MENCEGAH KEMUNGKAAN

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Minta pendapat. Sebagai orang yang mengetahui adanya sebuah hubungan terlarang (isteri orang dengan lelaki bujang), apa yang perlu saya buat? Antara ingin menjaga aib orang dan ingin menghalang kemungkaran dari terus berleluasa.

Jawapan; 
  Bismillah. Nasihatkan orang terbabit secara direct jika mampu, atau sampaikan kepada pihak yang dapat mencegah mereka. Jangan sekali-kali menceritakannya kepada orang yang tiada kaitan untuk pencegahan. 

Wallahu a'lam.